Anjakan Pemikiran & Sikap Kerterbukaan Perlu Untuk Menghentikan Kecaman Terhadap Individu LGBTIQ
Press statement by Justice for Sisters (JFS) on the need for openness and ending hate speech on LGBTIQ communities
pressstatement
Details
Justice for Sisters sangat bimbang dan mengkritik dengan tegas kecaman dan ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis terhadap individu-individu lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan queer (LGBTIQ) serta mereka yang dianggap sebagai penyokong individu LGBTIQ di media sosial sejak kebelakangan ini.
Dalam beberapa minggu ini semakin banyak ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis, termasuklah ancaman bunuh dan ugutan fizikal terhadap individu LGBTIQ dikongsi serta ditularkan di media sosial. Terdapat juga beberapa laporkan terhadap individu LGBTIQ atau mereka yang dikaitkan dengan individu LGBTIQ kepada pihak penguatkuasa, penggunaan naratif agama untuk mengecam individu LGBTIQ, dan sebagainya.
Ucapan-ucapan dan mesej sedemikian memberi kesan negatif yang mendalam terhadap emosi, kesejahteraan, keselamatan dan psikologi bukan sahaja individu LGBTIQ, malah orang lain yang terdedah kepada mesej berunsur kebencian dan keganasan sebegini.
Kecaman dan ucapan sedemikian secara langsung meningkatkan risiko keganasan, menimbulkan rasa tidak selamat dan mengiyakan diskriminasi terhadap individu-individu LGBTIQ. Peningkatan risiko terhadap keselamatan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuklah, keganasan yang wujud daripada kebencian terhadap golongan LGBTIQ; cemuhan atau kejian secara lisan; dan percubaan untuk “membetulkan” individu LGBTIQ, antaranya.
Individu-individu LGBTIQ sememangnya satu kelompok yang dipinggirkan dan mengalami pelbagai bentuk diskriminasi, termasuklah dari segi pekerjaaan, pendidikan, perumahan, dan sebagainya. Hasutan kebencian dan ucapan berunsur keganasan terhadap individu LGBTIQ di media sosial hanya akan menggalakkan diskriminasi dan memburukkan lagi keadaan bagi individu LGBTIQ di Malaysia.
Pencerahan dalam Malaysia Baharu
Kami percaya bahawa Malaysia Baharu perlu meninggalkan politik dan retorik ekstremisme haluan kanan bagi membentuk satu masyarakat yang lebih inklusif. Kerajaan hari ini perlu sedar bahawa sifat anti-LGBT, homofobik dan transfobik tidak ada bezanya dengan kebencian dan prejudis berdasarkan agama, kumpulan etnik, gender dan sebagainya. Sifat benci dan prejudis melulu tidak lagi ada ruang di Malaysia. Politik kebencian hanya akan membawa kepincangan dan keburukan pada masyarakat.
Kekurangan naratif positif berkenaan ‘LGBTIQ’ oleh individu LGBTIQ sendiri, kekurangan pemahaman berkenaan individu LGBTIQ berdasarkan pengalaman hidup LGBTIQ dan fakta-fakta, antaranya menjurus kepada sikap prejudis dan diskriminasi terhadap individu LGBTIQ. Individu LGBTIQ adalah seperti manusia lain yang mempunyai perasaan, kebolehan, aspirasi dan sebagainya. Individu LGBTIQ juga mempunyai ibu bapa, keluarga dan sahabat handai yang menyayangi, menghormati dan menyokong mereka. Kewujudan individu LGBTIQ adalah sebahagian daripada kepelbagaian alam.
Kami meminta orang ramai untuk bersikap lebih terbuka serta berdialog secara baik dan tenang untuk mendengar dan memahami pengalaman hidup, realiti dan natijah diskriminasi terhadap individu LGBTIQ.
Kami menggesa Suruhunjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk memantau trend ini dan ucapan yang mengandungi unsur kebencian, keganasan dan prejudis di laman sosial media. Kami juga meminta SKMM serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khususnya, untuk mengambil berat unsur prejudis dalam laporan yang diterima sebelum mengambilkan tindakan terhadap orang yang diadukan supaya tiada mangsa ketidakadilan.
Kami juga menggesa kerajaan untuk memandang serius isu diskriminasi dari segi gender, orientasi seksual, etnik, agama, latar belakang geografi, kewarganegaraan, dan sebagainya yang sangat ketara di Malaysia. Kami juga menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Pendidikan dan agensi lain yang berkenaan untuk memandang serius ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis, dan memperkenalkan kempen anti-diskriminasi di institusi pendidikan dan di tempat kerja dengan kerjasama sektor swasta.
Kami turut menasihat orang ramai untuk melakukan laporan kepada pihak PDRM atau Suruhanjaya yang berkenaan dengan segera sekiranya anda mendapati laporan telah dilakukan terhadap anda.
The post was published on Justice For Sisters website