Artikel: Hentikan Kecaman Terhadap Individu LGBTIQ
(Artikel ini berdasarkan kenyataan yang diterbitkan oleh justice for Sisters pada 19 Julai 2018)
updates
Details
Trend kecaman dan ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis terhadap individu-individu lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan queer (LGBTIQ) serta mereka yang dianggap sebagai penyokong individu LGBTIQ di media sosial semakin kritikal.
Dalam beberapa minggu ini semakin banyak ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis, termasuklah kempen boikot, ancaman bunuh dan ugutan fizikal terhadap individu LGBTIQ dikongsi serta ditularkan di media sosial. Terdapat juga tindakan orang ramai yang melaporkan individu LGBTIQ atau mereka yang dikaitkan dengan individu LGBTIQ kepada pihak penguatkuasa, ancaman yang diajukan kepada mereka, penggunaan naratif agama untuk mengecam individu LGBTIQ.
Ucapan-ucapan dan mesej berunsur kebencian sedemikian memberi kesan negatif yang mendalam terhadap emosi, kesejahteraan, keselamatan dan psikologi individu LGBTIQ, tetapi juga mereka-mereka lain yang terdedah kepada mesej berunsur kebencian dan keganasan sebegini.
Kecaman dan ucapan sedemikian secara langsung meningkatkan risiko keganasan, menimbulkan rasa tidak selamat dan mengiyakan diskriminasi terhadap individu-individu LGBTIQ. Peningkatan risiko terhadap keselamatan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuklah keganasan yang wujud daripada kebencian terhadap orientasi seksual dan identiti gender, cemuhan atau kejian secara lisan, dan percubaan untuk “membetulkan” individu LGBTIQ.
Individu-individu LGBTIQ sememangnya satu kelompok yang dipinggirkan dan mengalami pelbagai bentuk diskriminasi, termasuklah dari segi pekerjaaan, pendidikan, perumahan, dan sebagainya. Hasutan kebencian dan ugutan keganasan terhadap individu LGBTIQ di media sosial hanya akan menggalakkan diskriminasi dan memburukkan lagi keadaan bagi individu LGBTIQ di Malaysia.
Kos prejudis dan diskriminasi dalam masyarakat
Retorik untuk “memulihkan” atau “membawa golongan LGBTIQ ke pangkal jalan” dari pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan juga menambah kepada kemudaratan dan diskriminasi terhadap individu LGBTIQ. Pendekatan “memulihkan” orientasi seksual dan identiti gender ditolak oleh badan-badan perubatan antarabangsa. Malah, beberapa negara, termasuklah Malta dan Kanada telah mengharamkan pendekatan “pemulihan dan pembetulan”” sama ada dari segi perubatan mahupun spiritual boleh membawa kemudaratan besar yang berpanjangan. Kemudaratan ini termasuk kemurungan, pengasingan diri, rasa hendak membunuh diri, percubaan membunuh diri dan dalam kes yang lebih berat, bunuh diri boleh berlaku.
Pendekatan “pemulihan dan pembetulan” ini juga telah dikategorikan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu bentuk penyeksaan kerana pendekatan ini dianggap zalim dengan kesan yang buruk dan langsung tidak efektif.
Semua bentuk diskriminasi ini mempunyai kos yang bukan sahaja ditanggung oleh individu LGBTIQ, tetapi juga oleh kerajaan dan negara. Antara kesan diskriminasi terhadap individu LGBTIQ boleh dilihat melalui kadar kemiskinan yang dihadapi oleh komuniti LGBTIQ; risiko dan beban kesihatan yang tinggi; “brain drain” berpunca dari migrasi individu LGBTIQ ke negara lain oleh sebab diskriminasi dan kekurangan peluang.
Pencerahan dalam Malaysia Baharu
Pencerahan yang sebetulnya tentang Islam, gender dan seksualiti amat kritikal supaya kita tidak menjadi satu kelompok masyarakat yang jumud. Islam mahupun agama-agama lain mengunjurkan keadilan dan pembebasan manusia daripada penindasan, kezaliman dan kejahilan. Oleh itu, perlunya ruang untuk berdialog secara sivil dan tenang dengan tujuan untuk mendengar dan memahami, bukan untuk menghukum atau berceramah.
Kekurangan naratif positif berkenaan ‘LGBTIQ’ oleh individu LGBTIQ sendiri, kekurangan pemahaman berkenaan individu LGBTIQ berdasarkan pengalaman hidup LGBTIQ dan fakta-fakta, antaranya menjurus kepada sikap prejudis dan diskriminasi terhadap individu LGBTIQ. Individu LGBTIQ adalah seperti manusia lain yang mempunyai perasaan, kebolehan, aspirasi dan sebagainya. Individu LGBTIQ juga mempunyai ibu bapa, keluarga dan sahabat handai yang menyayangi, menghormati dan menyokong mereka. Kewujudan individu LGBTIQ adalah sebahagian daripada kepelbagaian alam.
Kecaman dan ugutan terhadap individu LGBTIQ akhir-akhir ini juga terbit dari ‘momokan moral’ pihak segelintir. Ianya adalah sisa-sisa dan taktik-taktik daripada pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang acap memutarkan dan mempolitikkan isu-isu berkenaan LGBTIQ bagi kelangsungan politik benci dan kepentingan mereka.
Harus diingatkan, individu LGBTIQ tidak mencabul hak mana-mana pihak. Setiap manusia mempunyai hak untuk hidup bermartabat dan bebas dari ancaman. Kerajaan seharusnya memikul tanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat dan kelompok masyarakat dilindungi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malaysia Baharu perlu meninggalkan politik dan retorik ekstremisme haluan kanan bagi membentuk satu masyarakat yang lebih inklusif. Kerajaan hari ini perlu sedar bahawa sifat anti-LGBT, homofobik dan transfobik tidak ada bezanya dengan kebencian dan prejudis berdasarkan agama, kumpulan etnik, gender dan sebagainya. Sifat benci dan prejudis melulu tidak lagi ada ruang di Malaysia. Politik kebencian hanya akan membawa kepincangan dan keburukan pada masyarakat.
This article was published on Justice for Sisters website